comscore
Tumpuan :
Nasional

Paras air di lapan kawasan melebihi tahap bahaya

Beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak kira-kira 9 pagi tadi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Paras air di lapan kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan melebihi tahap bahaya sehingga jam 2.15 petang tadi, susulan hujan lebat yang berlaku sejak pagi.

Laman web Info Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, di Selangor, dua sungai merekodkan bacaan melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Langat di Batu 12, Hulu Langat dan Sungai Bernam, Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor.

Di Kedah, peningkatan paras air melebihi tahap bahaya berlaku di Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Situasi sama turut dicatatkan di dua kawasan di Perak, iaitu di Sungai Bidor, Changkat Jong, Hilir Perak dan Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak (RHN), Hulu Perak.

Di Sarawak, paras air melebihi tahap bahaya dicatatkan di Marudi, Miri dan Sungai Dausan, Mukah.

Sementara itu, 10 sungai mencatatkan paras air tahap amaran, membabitkan Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap; Sungai Slim di Slim River, Mualim; Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab (F1), Temerloh dan Sungai Triang di Jambatan Keterapi (F1) Bera dan di Triang.

Di Sarawak, lima sungai di tahap amaran adalah di Punan Bah B, Kapit; Benawa, Miri; Daro, Mukah dan Stapang B serta Nanga Lemai B, Sibu.

Tengah hari tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga jam 5 petang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini