Tumpuan :
Nasional

Para SUKMA: 25 bas untuk kemudahan atlet disediakan RapidKL

Fatimah menolak atlet berkerusi roda memasuki bas RapidKL ketika menguji perkhidmatan bas itu di Kuching, hari ini. – FOTO: NSTP

KUCHING: Rapid Bus Sdn Bhd (RapidKL) menjamin kelancaran penganjuran temasya Para Sukan Malaysia Ke-21 (Para SUKMA XXI) Sarawak dengan menyediakan bas khas untuk membawa atlet berkerusi roda.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 25 bas khas dibawa syarikat terbabit dari Kuala Lumpur dan mereka menyediakan perkhidmatan sepanjang Para SUKMA secara percuma.

Menurutnya, kerajaan Sarawak hanya menanggung kos sebanyak RM845,000 untuk mengangkut semua bas berkenaan dengan kapal dari Pelabuhan Klang dan tiba di Kuching 13 September lalu.

“RapidKL adalah rakan pengangkutan rasmi Para SUKMA XXI yang berlangsung pada 20 hingga 28 September ini.

FOTO: NSTP

“Perkhidmatan bas dari ibu negara itu diperlukan kerana ia mempunyai kemudahan untuk atlet kurang upaya khususnya yang berkerusi roda,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain 25 bas, RapidKL turut membawa 44 pegawai iaitu 30 kapten bas serta 14 kakitangan sokongan dari Kuala Lumpur untuk memastikan kelancaran perkhidmatan.

Fatimah berkata, seramai 260 atlet berkerusi roda mengesahkan penyertaan pada Para SUKMA XXI.

“Setiap bas mampu membawa antara tujuh hingga lapan atlet berkerusi roda pada satu-satu masa.

“Jumlah 25 bas yang disediakan mampu untuk menampung keperluan 260 atlet itu bergerak dari penginapan ke venue pertandingan, majlis perasmian, penutupan dan lokasi lain yang relevan,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memastikan kelancaran dan ketepatan masa mengangkut atlet, RapidKL menggunakan aplikasi Rapidbus KIOSK untuk melakukan penjejakan masa nyata bagi membolehkan pihak jawatankuasa pengangkutan menjejaki lokasi bas.

Selain itu katanya, sebanyak 37 bas, 79 van, 19 kenderaan utiliti sukan (SUV), 20 kereta dan 10 lori disediakan sepanjang Para SUKMA XXI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini