KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) dijangka mengadakan perbincangan mengenai isu harga tiket dengan persatuan utama pengendali umrah tempatan, hujung minggu ini.
Mesyuarat tidak rasmi itu sepatutnya diadakan petang semalam, namun dibatalkan berikutan ada PAPUH tidak dapat hadir.
Pertemuan itu dijadualkan berlangsung antara tiga pihak iaitu PAPUH, wakil daripada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA).
Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata butiran pertemuan adalah untuk membincangkan mengenai harga tiket dan bukan berkaitan perkara lain.
Beliau berkata, ada ahli PAPUH hanya berminat menghadiri pertemuan itu jika ia diaturkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Ini adalah pertemuan tidak rasmi untuk persatuan utama berkaitan umrah untuk sama-sama duduk semeja berbincang.
“Selepas pertemuan ini, kita tunggu perbincangan dengan MOTAC. Difahamkan, selain pertemuan dengan PAPUH dan ahli MATTA, MOTAC juga akan berbincang dengan syarikat penerbangan,” katanya kepada BH.
Ditanya mengenai BUMITRA yang mendakwa tidak tahu mengenai mesyuarat semalam, Razali memaklumkan, perjumpaan itu adalah perbincangan santai dan tiada sebarang jemputan rasmi.
BH semalam melaporkan, beberapa syarikat umrah tempatan ‘memborong’ tiket penerbangan ke Tanah Suci dan turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 untuk mengaut keuntungan besar.
Kegiatan mereka yang didakwa semakin berleluasa sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai satu penindasan kepada pengendali pakej umrah tempatan.
Perbuatan itu menyebabkan ada syarikat tempatan yang tidak mampu membawa jemaah mengikut jadual ditetapkan disebabkan kos mengerjakan umrah menjadi tinggi.
Semakan BH mendapati, ada agensi umrah Indonesia yang menghantar jemaah mereka dengan membeli tiket sama ada daripada ‘ulat tiket’ dalam kalangan pengendali pelancongan tempatan, atau membeli terus daripada syarikat penerbangan.
Dalam pada itu, Razali mengesahkan, beliau sudah dihubungi Suruhanjaya Persaingan Malaysia berkenaan isu tiket pakej umrah dan meminta suruhanjaya berkenaan menyiasat perkara itu.
Sementara itu, pegawai kepada Timbalan Menteri MOTAC berkata, sebarang makluman mengenai isu umrah akan dibuat minggu depan.–BERITA HARIAN