KUALA LUMPUR: Kesetiaan dan kesungguhan ditunjukkan 85,000 peminat nyata membuatkan vokalis Coldplay, Chris Martin terharu dan terkejut melihat sambutan luar biasa peminat di Malaysia.
Katanya, dia tidak tahu kubu peminatnya di Malaysia sangat kuat.
“Terima kasih sanggup berhujan, meredah trafik, datang demi menyayangi kami. Ini hujan rahmat dan terima kasih setia menunggu 27 tahun,” katanya.
Dek kerana cuaca hujan, maka lahirlah lagu secara spontan berjudul ‘Malaysia Rain’.
Pada malam indah yang memahat nostalgia buat peminat, Martin sempat mencuit hati peminat dengan serangkap pantun.
Selepas pantun Pinjam 100 yang tular di Indonesia pada konsert Coldplay di negara seberang minggu lalu, kini pantun ‘tom yam’ didendangkan malam kelmarin, membuatkan stadium disambut dengan gema penonton.
Pantun didendangkan Martin itu berbunyi, “Pergi ke kedai membeli sayur, masak tom yam pesan bonda, Coldplay sekarang di Kuala Lumpur, payung lagu ‘favourite’ anda,” sambil diiringi petikan keyboard.
Panas dan hujan silih berganti membasahi bumi Malaysia sejak petang, tidak sedikit menjejaskan pengalaman indah Konsert ‘Coldplay: Music Of The Spheres World Tour’ di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.
View this post on Instagram
Biarpun hujan masih lebat ketika konsert berlangsung, momentum persembahan kumpulan popular dari Britain itu tidak mengecewakan, tambahan pula ia penampilan pertama di Malaysia.
Coldplay yang turut dianggotai Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion memberikan pengalaman cukup indah dengan mendendangkan 26 lagu daripada album sejak 1997 hinggalah album terbaharu, ‘Music of the Spheres’.
Dalam suasana hujan, penonton disajikan dengan pementasan cukup berwarna-warni dan prop menarik, termasuk percikan bunga api yang menghiasi ruang udara Bukit Jalil.
Selautan manusia kelihatan cukup terhibur dengan konsert yang berlangsung selama hampir dua jam, apabila dilihat bernyanyi bersama band tersebut.
Antara lagu yang didendangkan ialah ‘Fix You’, ‘Yellow’, ‘The Scientist’, ‘Viva La Vida’, ‘My Universe’, ‘Clocks’, ‘In My Place’ dan ‘Paradise’.
Pada konsert itu juga, Coldplay memberi pengalaman menarik kepada peminat, yang berpeluang mengayuh basikal untuk membekalkan tenaga lampu bagi pentas ‘kinetik’.
Inisiatif itu adalah salah satu usaha Coldplay untuk memupuk kesedaran terhadap alam sekitar, selari dengan komitmen kumpulan terkenal itu untuk mengurangkan pelepasan karbon diaoksida.
Terdahulu, tirai persembahan konsert bermula jam 8 malam dibuka dengan kemunculan penyanyi hip hop, Bunga yang mendendangkan lima lagu iaitu ‘Intan Payung’, ‘Apadehal’, ‘Belai’ dan ‘Buai’ serta single terbaru, ‘Jiwaraga’.
Persembahan di Malaysia menutup tirai konsert jelajah Coldplay tahun ini, sebelum mereka meneruskan penjelajahan ke Filipina, Singapura, Thailand serta beberapa negara lain, tahun depan.
| ARTIKEL BERKAITAN
- ‘Terima kasih menerima kami di Malaysia’ – Coldplay
- [VIDEO] Hujan bukan pengukur kesetiaan peminat Coldplay
- Kerajaan tidak berhasrat membatalkan persembahan artis luar, termasuk konsert Coldplay
- ‘Suis Pemati’ akan digunakan dalam konsert Coldplay malam ini – Fahmi
- [VIDEO] Demi Coldplay, ratusan berbaris sejak tengah malam tadi
- Jaga tatasusila, jangan lakukan provokasi semasa konsert Coldplay – Polis
- Coldplay tiba di Kuala Lumpur?