Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR : Sejak diperkenalkan, inisiatif Menu Rahmah mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan pengguna terutama golongan kurang berkemampuan.
Pun begitu, usaha yang dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat, ada kalanya disalah guna oleh pengusaha makanan yang tidak bertanggungjawab.
Mereka didakwa mengguna pakai nama rahmah tersebut, namun makanan yang disediakan tidak setimpal dengan kualitinya.
Inisiatif menu rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari lalu, dilihat berjaya menarik minat pengusaha makanan untuk menyahut seruan kerajaan dalam membantu meringankan beban pengguna.
Pelbagai idea dan konsep makanan dijual oleh pengusaha bagi memberi banyak pilihan kepada pengguna dan tidak hanya terhad kepada makanan yang seimbang dengan harga RM5 ke bawah.
Namun di sebalik sambutan yang menggalakkan, wujud keluhan daripada pengguna.
Bukan tidak bersyukur, namun kecewa dengan sikap segelintir pengusaha makanan yang seolah-olah acuh tak acuh dalam melaksanakan konsep rahmah dalam menu makanan mereka.
Namun, peniaga tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya ekoran terpaksa berdepan dilema isu kenaikan harga barangan mentah.
“Saya pernah makan di satu kedai ini, saya bukan tidak bersyukur tetapi dia bagi sayur yang tiada kualiti macam sayur buangan lepas itu hanya bagi satu jenis sayur kobis semata-mata.“ kata Siti Khadijah, Pekerja Swasta.
“Sepatutnya bila kita kata menu rahmah ini maksudnya yang baik yang sihat dan berkhasiat bukan setakat kita nak memenuhkan menu sahaja.”
“Kalau nak buat, kita buat betul-betul dan insyallah mungkin ramai yang akan sokongan inisiatif ini.” kata Faiz, Imam Masjid.
Walau bagaimanapun, peniaga tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya ekoran terpaksa berdepan dilema isu kenaikan harga barangan mentah.
“Kalau kerajaan memandang isu ini serius, kerajaan perlu ambil tindakan mengurangkan harga misalnya, ataupun harga barang pun sepatutnya kena rahmah. Baru adil.”
“Jangan makanan saja rahmah, sedangkan kedai-kedai barang runcit tidak rahmah. Habis peniaga macam mana? Sewa kedai, pun kena rahmah.” kata Rohani Amin, Suri Rumah.
“Kerajaan perlu kawal dan turunkan harga barang, bukan setakat menu rahmah, rahman sekali pengasih dan penyayang.” kata Muhammad Amir Zakaria, bekerja sendiri.
Sementara itu, bagi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), kerajaan juga perlu pantau pelaksanaan inisiatif tersebut agar tidak memberi kesan negatif kepada inisiatif tersebut.
“Untuk elak konsep rahmah ini disalahguna, kerajaan perlu pantau para penjual, pengedar atau pengusaha makanan seperti penjual ayam, ikan telur, peruncit supaya mereka tidak jual sewenangnya.” kata Baskaran Sithamparam, Pengurus Kanan FOMCA.
Jelasnya, peningkatan kos bahan mentah akan mempengaruhi kepada pelaksanaan menu rahmah tersebut, sekaligus membebankan pengusaha makanan.
Baskaran turut menasihatkan peniaga untuk memberi kualiti makanan yang baik, dan tidak mengurangkan kuantiti makanan yang tidak munasabah.