comscore
Tumpuan :
Nasional

Pantau media sosial tak bermakna sekat kebebasan bersuara

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – FOTO: Kementerian Komunikasi dan Digital

KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap kandungan media sosial tidak akan menyekat hak bersuara atau kebebasan media untuk melaporkan isu terkini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, berkata beliau akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara namun pada masa sama meneliti undang-undang berkaitan.

“Sama ada di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi terdapat batas undang-undang yang sekiranya dicerobohi akan ada tindakan.

“Rakyat jangan salah faham, hak bersuara masih ada cuma jangan fitnah dan membuat tohmahan yang tidak berasas,” katanya selepas melawat Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan di media sosial yang memetik beberapa kenyataan Fahmi mengenai kebebasan bersuara sebelum jadi menteri. Bagaimanapun, kelmarin Fahmi dalam sidang media mengumumkan SKMM dan TikTok sekat lebih 2,000 kandungan yang disifatkan sebagai provokatif.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata setiap perbuatan ada tindakan balas termasuk di mahkamah.

“Algoritma menapis kandungan sudah ada di media sosial, sebagai contoh di Amerika Syarikat, jika seorang pembunuh bersiri melakukan ‘live stream’ dan ia disekat, adakah itu bermaksud menyekat hak beliau bersuara, sudah tentu tidak,” katanya.

Fahmi berkata, Kementerian termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menjaga hak bersuara tetapi tetap mengawasi batas undang-undang.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau belum sempat meneliti kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut PH dan BN melakukan ‘the biggest electoral fraud ever’ (penipuan pilihan raya terbesar) pada PRU-15.

Muhyiddin membuat kenyataan itu ketika mengulas kemenangan besar PN dalam PRU-15 bagi kawasan Serai semalam.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kemenangan besar PN di kerusi Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman tanda positif sokongan padu rakyat terhadap PN. Ia sekali gus menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini