![](https://media.buletintv3.my/2024/12/98VOk4Os-BULETIN-TV3-A-8.jpg)
PEKAN: Pantai Kampung Tanjung Batu, dekat sini akan menjadi destinasi pelancongan terkenal di daerah ini dengan aktiviti pantai apabila projek pengawalan hakisan pantai siap sepenuhnya Mac 2026.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata projek pemulihan pesisir pantai sepanjang 4.3 kilometer (km) dan mendalamkan muara Sungai Tering, dijadualkan siap pada Mac 2026 lebih awal daripada jadual asal.
Katanya, projek dengan kos RM58 juta itu mampu menjadi nadi pada penduduk setempat dengan aktiviti perniagaan selain kemudahan kepada nelayan untuk turun ke laut tanpa mengira waktu.
Menurutnya, difahamkan kemajuan kerja fizikal sebenar di tapak telah mencapai 25 peratus berbanding 23 peratus dirancangkan.
“Projek berkenaan amat penting, kerajaan meluluskan projek terbabit selepas mengambil kira kejadian hakisan pantai yang begitu serius di kawasan terbabit hingga menyebabkan kemusnahan banyak harta benda.
“Hakisan pantai yang berlaku turut menimbulkan masalah pada nelayan pantai untuk turun ke laut ketika air laut surut,” katanya selepas mendengar taklimat projek berkenaan, di sini, semalam.
Turut hadir sama Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Fadzillah Salleh dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.
Beliau berkata, kejadian hakisan pantai di Tanjung Batu sebelum ini tidak terlalu ketara, namun semakin serius sejak beberapa tahun lalu dan sekiranya tidak ada usaha mengawalnya menyebabkan lebih banyak kerosakan.
Shamsul Azri berkata, sebelum ini di Kampung Tanjung Batu terkenal dengan pusat peranginan Kekunang Tering Chalet namun kini semuanya musnah berikutan hakisan pantai tidak dapat dikawal.
“Kawasan pantai Kampung Tanjung Batu suatu ketika dahulu menjadi tempat saya dan rakan sekampung mandi laut, kini telah banyak berubah berikutan hakisan,” katanya yang berasal dari Kampung Tering, Tanjung Batu.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Batu Mudzafar Abu Samah berkata masalah hakisan itu berlakusejak lebih enam tahun lalu, namun semakin memburuk pada 2020 menyebabkan ada rumah penduduk yang jaraknya hanya tinggal sekitar 20 hingga 40 meter (m) dari pantai.
Masalah hakisan selebar 250m itu juga menyebabkan pusat peranginan terkenal di situ, Kekunang Tering Chalet yang terletak kira-kira 100m dari pantai terpaksa menghentikan operasi akibat terhakis teruk sehingga ‘ditelan’ laut.
“Kejadian hakisan pantai juga mendatangkan kesukaran kepada hampir 30 nelayan untuk keluar dan masuk ke jeti kerana air semakin cetek dan berlaku perubahan pada muara yang menjadi laluan utama bot mereka untuk keluar menangkap ikan.
“Ada masanya nelayan boleh keluar pada waktu pagi, namun perlu menolak bot semasa pulang dan kita berharap masalah ini boleh diselesaikan kerana ia menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.