Tumpuan :
Nasional

Pantai barat dijangka alami ribut petir Ahad hingga Khamis depan

Foto hiasan

ALOR SETAR: Pantai barat semenanjung terutama di kawasan pedalaman dijangka mengalami ribut petir dan angin kencang pada waktu petang dari Ahad hingga Khamis depan akibat peralihan monsun.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata ramalan itu berdasarkan pembentukan tekanan tropika di Lautan Pasifik yang dijangka bergerak ke arah barat laut menghampiri Taiwan.

“Jangkaan sistem ini akan meningkat menjadi ribut petir tropika dalam tempoh 24 jam. Ia dijangka mempengaruhi pola angin dan cuaca di negara ini, terutamanya di pantai barat semenanjung yang dijangka menjadi lebih lembap dalam tempoh 29 September hingga 2 Oktober ini.

“Semasa peralihan monsun, angin lemah dari semua arah akan menggalakkan kejadian ribut petir yang menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada waktu singkat pada petang, terutamanya di pantai barat dan kawasan pedalaman semenanjung, barat Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang bermula sejak awal minggu ini dan dijangka berterusan sehingga awal November.

Fasa peralihan monsun ini berlaku dua kali setiap tahun, iaitu dari Mac hingga Mei dan September hingga November.

“Fenomena ini sering kali membawa peningkatan kejadian ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang, terutamanya di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, serta barat dan tengah Sarawak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini