Tumpuan :
Nasional

Panjat bumbung untuk elak ditangkap

Antara PATI yang ditahan dalam operasi oleh JIM di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Nekad panjat bumbung dan terjun dari tingkat dua.

Itu tindakan berani mati segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba mengelak daripada ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini, hari ini.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti serbuan awal pagi itu mendapati, kawasan tanah persendirian berkenaan dijadikan tapak rumah sewa yang dibina menggunakan beberapa kontena.

Berdasarkan pengakuan beberapa warga asing yang ditemui, mereka mendakwa menyewa daripada pemilik tanah warga tempatan dengan harga lingkungan RM250 hingga RM900 mengikut saiz bilik.

Tinjauan di lokasi mendapati, terdapat sekurang-kurangnya 10 kediaman berbeza saiz yang dibina menggunakan kontena dan pelbagai struktur tambahan lain.

Kawasan itu yang terletak di tengah-tengah ibu negara menjadi tumpuan penyewa warga asing walaupun terpaksa hidup dalam ruangan kecil.

Seorang penyewa warga tempatan yang tinggal di kawasan itu mendakwa kawasan tanah berkenaan dimiliki beberapa penama, justeru tingkat atas dan bawah dimiliki oleh pemilik berbeza.

“Saya tinggal sini dah agak lama, berbelas tahun. Ramai dekat sini orang Indonesia ada yang kosong, ada yang ada permit.

“Rumah saya ini sewa dalam RM450, saya tinggal seorang sahaja kalau rumah depan itu RM250 kecil sedikit, kalau rumah di atas itu lebih mahal sebab pemilik lain-lain,” katanya.

Rata-rata pati yang ditemui mengaku bekerja di sekitar ibu negara termasuk di premis kedai makan yang terletak berhampiran kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, 38 pati ditahan dalam operasi bermula 2.30 pagi itu.

“Keseluruhannya, 59 individu diperiksa terdiri daripada empat warga Myanmar, Indonesia (38 orang), Thailand (lima), pemastautin tetap (dua).

“Daripada jumlah itu, 38 individu disyaki pati ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 14 wanita Indonesia serta dua lelaki warga Thailand,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini