Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pangsapuri terbakar, wanita rentung dan seorang lelaki cedera


AMPANG: Seorang wanita rentung, manakala seorang lelaki cedera akibat melecur selepas sebuah unit pangsapuri di Taman Lembah Maju di sini terbakar malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 9.46 malam.

Susulan itu sebuah jentera dengan kekuatan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dikejarkan ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah pangsapuri lima tingkat terbakar di tingkat bawah.

“Terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita melecur 80 peratus dan disahkan meninggal dunia manakala seorang lelaki melecur di tangan kanan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

Katanya, punca kebakaran rumah yang musnah 30 peratus itu masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini