comscore
Tumpuan :
Nasional

Panglima Tentera Darat Malaysia Hadiri Persidangan Panglima Angkatan Tentera FPDA Ke-21

SINGAPURA: Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain kini berada di Singapura untuk menghadiri Persidangan Panglima Angkatan Tentera (FDCC) negara-negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) Ke-21.

Persidangan tiga hari yang akan berakhir pada 12 Oktober itu dipengerusikan Ketua Angkatan Pertahanan Singapura, Leftenan Jeneral Melvyn Ong.

New Zealand diwakili Marsyal Udara Kevin Short manakala Laksamana Madya David Johnston mewakili Australia dan United Kingdom diwakili Timbalan Ketua Pegawai Turus Am Gwyn Jenkins.

Pada persidangan itu, Ong mengulangi kepentingan FPDA dalam persekitaran keselamatan serantau pada masa ini.

“Selepas 51 tahun, FPDA terus menjadi pengaturan keselamatan yang penting, memastikan kestabilan dan kemakmuran wilayah kita.

“Ia juga menghimpunkan tentera dari pelbagai negara untuk membina persefahaman tetapi yang lebih penting ialah membina kepercayaan yang menjadi komoditi penting hari ini,” kata Ong dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu di sini hari ini.

Menurut MINDEF ketua-ketua angkatan tentera turut menegaskan semula komitmen mereka terhadap FPDA.

FDCC yang dianjurkan secara penggiliran antara Malaysia dan Singapura ialah forum ketenteraan profesional tertinggi FPDA dan berfungsi sebagai platform penting untuk dialog serta bertukar-tukar pandangan dalam kalangan Panglima Pertahanan.

Ketua-ketua Pertahanan turut menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen yang diadakan hari ini.

Mereka juga akan menyaksikan majlis perasmian Exercise SUMAN Protector (XSP) pada 12 Okt 2022 di Pangkalan Tentera Laut Changi.

Latihan yang diadakan dari 10 hingga 28 Oktober itu merupakan kemuncak kitaran latihan FPDA selama lima tahun, antara lain akan melibatkan 261 kakitangan daripada kesemua lima negara anggota.

XSP turut diadakan secara bergilir antara Singapura dan Malaysia, kali terakhir Singapura mengendalikannya pada 2012.

FPDA ditubuhkan pada 1971 terdiri Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan Britain. – BERNAMA

Loading...
Terkini