Tumpuan :
Nasional

Pangkalan TUDM Alor Setar turut ditenggelami banjir

Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Alor Setar dilaporkan dinaiki air hingga satu meter. – FOTO: Ihsan pembaca

ALOR SETAR: Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini dilaporkan dinaiki air hingga satu meter susulan kejadian banjir yang melanda negeri ini sejak kelmarin.

Banjir turut menyebabkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ditutup sepenuhnya serta semua penerbangan masuk dan keluar dibatalkan sejak semalam.

Tinjauan sekitar Pangkalan TUDM yang turut menempatkan Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas itu mendapati kawasan terbabit tidak dapat dimasuki kenderaan ringan.

Turut dilaporkan terjejas adalah kawasan hangar menempatkan pesawat latihan Pilatus PC-7, apabila air turut memenuhi kawasan sekitar dan landasan pangkalan.

Difahamkan, banjir turut menyebabkan beberapa bangunan bawah kendalian TUDM dinaiki air, namun keadaan masih terkawal setakat pagi ini.

Dimaklumkan, anggota TUDM yang bertugas hari ini, telah dikerah memindahkan peralatan dan kelengkapan milik pasukan ke kawasan selamat berikutan amaran cuaca hujan berterusan ketika ini.

Bagaimanapun, operasi Pangkalan TUDM Alor Setar masih berjalan seperti biasa dengan semua anggota masih bertugas mengikut jadual ditetapkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini