BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki selepas tindakannya tular di media sosial apabila memandu dalam keadaan berbahaya dengan melawan arus di Jalan Ayer Hitam-Kluang, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 5 petang, 6 Julai lalu.
Beliau berkata, pada hari kejadian, polis mengesan video berdurasi 30 saat di media sosial yang menunjukkan kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.
“Bertindak melalui siasatan polis termasuk berdasarkan kamera papan pemuka (dashcam), suspek dikesan sepasukan anggota dari Bahagian Sisatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada jam 3 petang keesokan hari.
“Suspek kemudian berjaya ditahan di perkarangan BSPTD Batu Pahat dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi menjalani ujian saringan air kencing.
“Turut ditahan kereta yang dipandunya pada hari kejadian bagi membantu siasatan punca tindakan lelaki terbabit memandu melawan arus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrulanuar berkata, siasatan awal termasuk saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang bahan terlarang.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang lain.
“Kita menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan mematuhi isyarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua terjamin.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa