comscore
Tumpuan :
Nasional

Pandemik, atlet baru punca pencapaian atlet negara Sukan SEA merosot

FOTO: NSTP

Oleh Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Pencapaian atlet negara dalam Sukan SEA edisi ke 32 di Phnom Penh diibaratkan terburuk berbanding temasya sama di Hanoi, Vietnam pada tahun lalu.

Secara keseluruhan, Kontinjen Malaysia menutup tirai temasya dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini pada edisi 2023 di Kemboja dengan mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Bagaimanapun tindakan pemuda PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani menyindir dan mengaitkan pencapaian Kontinjen negara dengan politik dianggap tidak wajar oleh ramai.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa. -FOTO: NSTP

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa ketika diminta memberikan pendapat berhubung pencapaian atlet negara di Sukan SEA Kemboja menjelaskan pencapaian atlet adalah kerana 60 peratus atlet adalah atlet baharu yang membuat penampilan sulung di temasya tersebut.

Banyak faktor perlu dilihat termasuk mengambil kira jumlah pertandingan antarabangsa dan kejohanan kompetitif yang telah disertai mereka sebagai persiapan ke Kemboja.

“Kita baru sahaja selesai SUKMA Kuala Lumpur, pada SUKMA tempoh hari,atlet telah diambil pada bulan Julai dan tidak sampai setahun , mereka terus diserap sebagai atlet pelapis ,dan sebenarnya dalam dua tahun sebelum ini, mereka tiada pendedahan ke luar negara dalam pertandingan begitu juga disekolah MSSN,” ujarnya ketika dihubungi Buletin TV3, hari ini.

Beliau mengakui bahawa kontinjen Malaysia pada temasya kali ini gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jelasnya antara faktor lain adalah disebabkan kekurangan peruntukan khususnya melibatkan pertandingan berprestasi tinggi, dalam masa yang sama tempoh pandemik COVID-19 yang lama turut menjejaskan perkembangan atlet sehingga gagal menonjol di temasya.

“Dalam tempoh dua tahun tersebut, dasar kerajaan menyebabkan perkembangan dan pembangunan atlet-atlet pelapis podium ini terpinggir, termasuklah dua sesi sukan SUKMA tahun lalu.

“Kita gagal untuk mendapatkan atlet yang benar-benar berbakat untuk dijadikan wakil negara ke sukan SEA, manakala bagi atlet pelapis, mereka hanya menjalani latihan di rumah bukan di Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), ” tambahnya.

Beliau berkata, kurangnya persediaan dalam kalangan atlet juga menjadi penyumbang kerana tiada latihan yang kompetitif dilakukan ketika pandemik.

Mohd Sadek memberitahu, prestasi atlet ketika pandemik turut diragui, khususnya bagi atlet berprestasi tinggi, malah isu bajet yang sepatutnya diluluskan terlebih awal sebagai persediaan mereka turut menjadi faktor.

‘Kita lihat sebulan sebelum olimpik serta pada bulan puasa, atlet dihantar ke sana ke sini , dan saya rasa ia bukan sesuatu yang bagus.

“Sepatutnya pendedahan dilakukan empat hingga lima bulan sebelum pertandingan, supaya kita dapat kaji prestasi dan bakat mereka dalam masa sama, kita boleh susun kembali periodisasi (plan latihan tahunan) melibatkan jurulatih melakukan fasa penilaian, pra pertandingan, dan mengenal pasti kelemahan sebagainya,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah hantaran di Facebook melibatkan pemuda PAS itu yang bertindak menyindir Kementerian Belia dan Sukan serta seluruh penyokong kerajaan MADANI.

Menerusi hantaran tersebut, beliau berkata ‘kejayaan’ pencapaian ini akan dikenang sebagai ingatan yang terbawa-bawa sehingga PRN.

Pada temasya yang menutup tirainya semalam, Vietnam muncul sebagai juara keseluruhan apabila mengutip keseluruhan 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa, diikuti Thailand 108-95-108 manakala Indonesia di tempat ketiga 85-81-109.

Manakala tuan rumah Kemboja berada di kedudukan keempat dengan mengutip keseluruhan 81-74-126 manakala Filipina di tempat kelima 58-86-116 sementara Singapura di posisi keenam 51-42-64.

Loading...
Terkini