Nasional

‘Pandangan tiba-tiba kabur ketika hampiri Plaza Tol Bentong’

BENTONG: “Pandangan saya tiba-tiba kabur dan pendengaran tergangu,” jelas Nor Wahid, 52 yang menceritakan kembali insiden keluarganya ditemui pengsan di dalam kenderaan dinaiki dipercayai kekurangan oksigen dalam badan sebelum merempuh Plaza Tol Bentong, pada 24 April lalu.

Nor Wahid yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora miliknya itu berkata, sebelum tidak sedarkan diri, dia sempat memanggil isterinya yang duduk di bahagian hadapan, serta anak saudara berusia 17 tahun dan anak perempuannya berusia 12 tahun di tempat duduk belakang, namun tiada maklum balas.

Menceritakan semula mengenai insiden itu Nor Wahid memaklumkan dia bergerak dari Kuala Terengganu sekitar jam 8 pagi pada 24 April selepas bermalam di rumah abangnya.

“Kami bergerak menggunakan dua kereta, dan anak sulung saya, Shafiq memandu satu lagi kereta. Kami ada berhenti seketika selama sejam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Saya tidak matikan enjin.

“Tiga kilometer selepas plaza tol Karak, trafik bergerak perlahan dan saya perasan ada bau petrol yang kuat dalam kereta. Cuasa ketika itu amat panas dan kereta bergerak perlahan, jadi saya buka tingkap sebelah pemandu,” katanya, sebelum menutup semula tingkap beberapa minit kemudian apabila trafik kembali lancar.

Ketika kereta itu menghampiri plaza tol Bentong, Nor Wahid memaklumkan bau petrol semakin kuat selain trafik kembali perlahan.

“Ketika menghampiri plaza tol, saya buka tingkap tapi suhu luar sangat panas. Tiba-tiba, saya rasa tak selesa dan tak bermaya…saya tanya isteri sama ada boleh pandu kereta selepas tol, tapi tiada balasan.

“Saya lihat isteri seperti sedang tidur nyenyak, manakala anak perempuan dan anak saudara juga tidur. Saya sangka mereka terlalu penat, namun tiba-tiba saya tak dapat fokus memandu kerana pandangan makin kabur, pendengaran berkurang dan rasa lemah…saya pengsan.

“Tiba-tiba saya rasa ada orang tekan dada, tepuk pipi saya dan beritahu jangan tidur. Saya seperti bingung ketika itu, sebelum mula sedar selepas doktor beri oksigen di hospital dan semua ahli keluarga juga tersedar,” katanya, sebelum mereka semua dibenarkan keluar dari hospital pada jam 10 malam selepas tekanan darah stabil.

Loading...
Terkini