comscore
Tumpuan :
Nasional

Pampasan Automatik: Pencarum Lega Nasib Terbela

Oleh Izzatie Rizan

PETALING JAYA: Akhirnya nasib kami terbela.

Itu reaksi rata-rata pencarum insurans sejurus keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan mangsa kemalangan perlu diberi pampasan secara automatik tanpa perlu menyaman syarikat insurans.

Bagi mereka, apa gunanya membayar komitmen setiap bulan tanpa culas namun apabila kemalangan berlaku, pencarum perlu melalui proses yang panjang bagi mendapatkan pampasan.

Kakitangan swasta, Hasrin Samad mendakwa isu melambat-lambatkan proses pampasan kepada mangsa kemalangan sudah lama berlaku sedangkan pencarum sudah meletakkan kepercayaan sepenuh kepada syarikat insurans untuk mendapat faedah perlindungan.  

“Insurans sebenarnya perlu lagi-lagi pada yang berkemampuan. Untuk itu syarikat insurans perlulah bertolak ansur dan membantu bila dah diperlukan bukan bersikap lepas tangan. Kita tidak pernah dengar ada syarikat insurans yang rugi. Jadi tidak sewajarnya melambat-lambatkan proses bayar pampasan,”

“Campur tangan kerajaan sangat perlu. Jika tidak, mereka akan buat tidak endah sahaja” katanya kepada Buletin TV9.

Pendapat sama turut dikongsikan kakitangan swasta, Budi Yutomo Radijikin yang melihat langkah mempercepatkan bayaran secara automatik itu sangat membantu mangsa kemalangan, terutamanya bagi menanggung segala kos perubatan serta tanggungan sepanjang cuti sakit.

“Bagi saya syarikat insurans perlu mempercepatkanlah lagi proses pembayaran sebab bila dah kemalangan orang nak pakai wang untuk perubatan dan tanggungan sepanjang tempoh cuti sakit itu”. jelasnya.

Seorang mangsa kemalangan, Zulfakri Shamsul yang dilanggar kereta ketika dalam perjalanan bermain bola, empat tahun lalu pula mendedahkan dia hampir berputus asa untuk menuntut pampasan dengan syarikat insurans.

Cedera di muka, patah jari dan tangan retak, beliau melalui tempoh hampir setahun lebih sebelum menerima pampasan.

“Agak terkilan sebab setiap kali hubungi mereka cakap dalam proses, jadi buat apa kita carum kalau kita tidak boleh dapat apabila memerlukan? Macam tidak ada gunalah kita carum insurans. Lagipun, kita bukan mahu terlibat kemalangan atau ditimpa musibah. Kita ambil insurans sebagai langkah berjaga-jaga untuk masa depan yang kita tidak tahu”. ujarnya.

Tambahnya, langkah membayar secara automatik kepada mangsa kemalangan ini juga secara tidak langsung minat masyarakat untuk memiliki pelindungan insurans.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan membabitkan lapan pengguna kenderaan, yang mana tujuh daripada pemohon cedera dalam kemalangan.

Loading...
Terkini