Tumpuan :
Gaya Hidup

Pameran ‘Hallyu’ rasai ‘Gelombang Korea’ menerusi karya seni visual

Oleh Nur Ain Zulfah Yahya

KUALA LUMPUR: Fenomena Hallyu atau ‘Gelombang Korea’ bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia.

Terkini, peminat drama, filem, muzik mahupun makanan dari Korea Selatan turut berpeluang untuk mendalami budaya masyarakat Asia Timur itu menerusi seni lukisan visual.

Buat julung kalinya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Balai Seni Negara bersama Kedutaan Besar Korea di Malaysia menganjurkan Pameran ‘Hallyu’.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi berkata, pameran menterjemahkan pengalaman 20 pengkarya tempatan dan Korea Selatan tentang asimilasi budaya kedua-dua negara.

Pameran kolaborasi antara MOTAC menerusi Balai Seni Negara dan Kedutaan Korea Selatan di Malaysia itu dirasmikan bersama Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin.

Pameran itu menghimpunkan sebilangan komuniti penggiat seni visual tempatan dan Korea Selatan untuk memaparkan karya-karya lukisan dengan garapan elemen dan pemahaman berinspirasikan budaya masyarakat kedua-dua negara.

Antaranya komuniti seni Batu Belah dari Malaysia yang juga pemenang Anugerah Bakat Muda Sezaman 2021 serta pelukis terkemuka Korea Selatan seperti Jin Youngsu, DaViz dan Bu Kyunghee.

Pameran seni yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur turut dimeriahkan dengan kehadiran penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pameran yang diadakan di Balai Seni Negara di ibu negara itu berlangsung sehingga 16 September ini.

Loading...
Terkini