Tumpuan :
Nasional

Paling lucu tiket kapal terbang terlepas pun tanya Bomba

Anggota bilik kawalan BBP Sik menerima banyak panggilan bencana termasuk terlepas tiket kapal terbang daripada pemanggil. – Foto NSTP/Ihsan BOMBA

SIK: Pelbagai karenah dan ragam diterima Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik sepanjang bencana banjir di daerah itu, sejak Rabu lalu.

Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, petugas bilik kawalan tidak menang tangan apabila tidak henti menerima panggilan daripada orang awam untuk mendapatkan bantuan dan pertanyaan.

Pegawai Bomba Khairul Amir Hudzori berkata, sepanjang seharian bertugas, dia menerima banyak panggilan namun tetap menjawab dengan baik kerana memahami masalah yang dihadapi pemanggil walaupun kebanyakkan panggilan bukan kepada kecemasan penyelamatan mahupun kebakaran.

Katanya, kebanyakan pemanggil hanya ingin mendapatkan pelbagai informasi seperti menjadikan Balai Bomba Sik ini sebagai ‘pusat sehenti’.

“Antara soalan yang sering ditanya pemanggil adalah jalan yang dinaiki air, jalan putus, jalan tutup, rumah tiada air, rumah tiada elektrik, tempoh air surut, cuaca, bateri kereta tak boleh hidup dan lain-lain yang bukan tujuan kecemasan.

“Soalan paling lucu berkaitan tiket kapal terbang terlepas pun ada yang tanya Bomba,” katanya.

Khairul Amir turut menerangkan kesemua panggilan perlu dilayan dengan baik malah dia sendiri sentiasa meningkatkan informasi kejadian banjir dengan jawapan terbaik.

Katanya, Ketua BBP, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil juga selalu berpesan supaya semua anggota di balai itu sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik dan jika ada kesulitan mereka perlu merujuk kepada penyelia untuk tindakan seterusnya.

“Mental memang penat, tetapi ucapan terima kasih dari pemanggil sedikit sebanyak meredakan tekanan kerja sepanjang tempoh banjir ini berbanding rakan-rakan lain di lapangan operasi banjir yang lebih jauh mencabar dan berbahaya.

“Semua mangsa banjir mahupun orang awam diharap sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat serta tidak menyebarkan maklumat yang boleh menyusahkan semua pihak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini