PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkasa Konsep Payung Rahmah MADANI bagi menangani kos sara hidup rakyat menerusi pengenalan Servis Ihsan MADANI@ Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata SIM@PAX diadakan dengan kerjasama PETRONAS bagi membantu golongan berpendapatan rendah melalui pengurangan kos penyelenggaraan kenderaan.
Program itu menawarkan pakej penyelenggaraan kereta di 130 bengkel PETRONAS AutoExpert seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Pelaksanaan pertama SIM@PAX ini akan bermula 24 hingga 28 Januari ini sempena Sambutan Tahun Baru Cina di 95 pusat bengkel Petronas AutoExpert seluruh negara,” katanya pada sidang media hari ini.
Yang turut hadir, timbalannya Datuk Fuziah Salleh.
SIM@ PAX ini menawarkan pengurangan harga minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik pada harga istimewa antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Orang ramai boleh membuat temu janji sebelum hadir ke bengkel PETRONAS AutoExpert melalui sistem Setel.
Armizan berkata, SIM@PAX ini akan dilaksanakan pada setiap musim perayaan utama Malaysia bermula tahun ini.
Katanya, ia melibatkan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidil Fitri, HaribRaya Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali, Krismis dan Hari Kebangsaan.
“Menerusi hala tuju K.P.D.N K.I.T.A kementerian mensasarkan pelaksanaan 14 strategi sepanjang 2025,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.