Tumpuan :
Nasional

Pakej Ramadan promosi Malaysia destinasi pelancongan mesra Muslim

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, MOTAC akan melancarkan Pakej Ramadan kepada pelancong Muslim antarabangsa bagi menarik lebih ramai orang Islam berkunjung ke negara ini pada bulan mulia itu.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pakej yang bakal dilancarkan pada 15 Januari itu merupakan antara usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim di rantau ini.

“Kita mahu negara Malaysia ini dijadikan tempat orang-orang Islam menyambut bulan Ramadan kerana di sini apabila kita sambut bulan ini, ada pelbagai aktiviti kerohanian dan aktiviti berkaitan dengan Ramadan itu diadakan, jadi ia perlu dipromosikan kepada seluruh dunia kerana kita sambut ia sebagai salah satu perayaan yang besar,” ujarnya.

Khairul Firdaus berharap langkah itu dapat membantu pemain industri pelancongan dalam membawa masuk pelancong Muslim dari seluruh dunia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan 35 imam dari 14 wilayah di China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, KLIA2 hari ini.

Ketibaan mereka dianjurkan Islamic Tourism Centre, ITC dan Malaysian Inbound Chinese Association, MICA bagi mendedahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tambah Khairul Firdaus, pihaknya turut merancang pelbagai program bagi memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia termasuk melalui kerjasama di antara Tourism Malaysia dan ITC.

Loading...
Terkini