KUALA LUMPUR: Pemborong barang keperluan perlu terlibat dengan Pakej Rahmah yang bakal dilaksanakan dengan kerjasama pasar raya besar di seluruh negara.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata ini kerana mereka turut terbabit dalam pengedaran barangan keperluan asas berkenaan.
“FOMCA menyambut baik saranan kerajaan yang akan melaksanakan Pakej Rahmah bagi membolehkan golongan B40 membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah.
“Namun pemborong juga perlu menyambut saranan kerajaan ini kerana mereka yang mengedar barangan keperluan asas kepada pasar raya dan tidak sepatutnya hanya pasar raya yang dipaksa mengikut saranan itu,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam BH melaporkan, kerajaan akan melaksanakan Pakej Rahmah yang membolehkan golongan B40 membeli barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding pasaran tidak lama lagi.
Inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pasar raya besar di seluruh negara, membabitkan 10 sehingga 12 barangan keperluan asas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, Pakej Rahmah adalah satu lagi inisiatif khusus bagi rakyat termiskin yang digerakkan melalui libat urus dengan pasar raya besar di negara ini.
Mengulas mengenai jenis barangan asas yang sesuai berada dalam pakej itu, Nur Asyikin berkata, paling penting adalah protein seperti ayam, ikan dan telur serta karbohidrat terdiri daripada beras, tepung dan bihun.
“Usaha kerajaan menyediakan Pakej Rahmah ini amat wajar, sekali gus dapat membantu mengurangkan beban golongan sasaran.
“Namun barangan keperluan yang akan ditetapkan itu nanti perlulah yang mempunyai khasiat dan sesuai untuk keperluan rakyat,” katanya.
Justeru, beliau berharap pihak yang terbabit mengikut saranan kerajaan dalam usaha membantu menyelesaikan kos sara hidup rakyat. – BERITA HARIAN