KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji yang bakal dinikmati penjawat awam yang dijanjikan tertinggi dalam sejarah negara sejak merdeka disifatkan sebagai motivasi terbaik kepada golongan pekerja dalam sektor berkenaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) seharusnya dapat menyuntik semangat dalam kalangan penjawat awam untuk bekerja dengan lebih bersemangat dan dapat menambah produktiviti yang tinggi.
Selain itu, katanya, kenaikan gaji itu juga mampu untuk membantu pekerja di sektor kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dari sudut kewangan kerana kuasa beli mereka akan bertambah.
“Namun adalah diingatkan supaya penjawat awam supaya tetap memelihara kedudukan kewangan mereka.
“Jangan pula terjebak dalam keberhutangan yang tinggi selain amalkan bersikap tidak boros dalam perbelanjaan mereka untuk mengelakkan ‘malapetaka’ dalam pengurusan kewangan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kenaikan gaji melalui SSPA akan diumumkan secara kaedah ‘kasar’ terlebih dahulu, pada bulan ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata perincian selengkapnya seperti mana yang dijanjikan kerajaan akan diumumkan melalui Belanjawan 2025, Oktober ini sebelum ia dilaksanakan 1 Disember kelak.
Pada masa sama, Perdana Menteri mahu penjawat awam berkhidmat dengan jauh lebih baik setimpal kenaikan gaji yang dijanjikan tertinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.