Tumpuan :
Nasional

Pakar belum serah laporan gangguan khidmat LRT – Anthony Loke

LRT Laluan Ampang di antara stesen Masjid Jamek dan Bandar Raya belum pulih. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan pakar dan jurutera berhubung gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata buat masa masa ini, pihaknya tidak dapat memberikan jaminan tarikh laluan antara stesen itu, yang terganggu akibat kerosakan struktur berdekatan stesen LRT Bandar Raya akan pulih.

“Semalam dan hari ini, kita menunggu laporan pakar dan jurutera untuk melihat sejauh mana struktur itu memberikan kesan kepada keselamatan, sama ada ia selamat untuk beroperasi semula.

“Saya tidak dapat memberikan jaminan sekarang (bila akan beroperasi semula). Sudah tentu apabila kita menerima laporan, kita akan membuat keputusan mengenai bagaimana kita membuat mitigasi dan pengumuman lebih lanjut. Mungkin dalam sehari dua lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber di sini, hari ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini