KUALA LUMPUR: `Ketat dan tidak patuh syariah’. Itu dakwa seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan.
Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.
Beliau mendakwa ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.
“Kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah.
“Adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan Barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelonggaran?” katanya ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Razali memuji dua hospital di Kelantan dan Pahang yang mengambil inisiatif memberi pilihan kepada kakitangan wanitanya mengenakan pakaian yang lebih sesuai.
“Contohnya Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.
“Tahniah diucapkan kepada kedua-dua hospital yang memberi pilihan etika pakaian lebih baik kepada pekerja,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) menggesa KKM meneliti isu bebanan tugas dihadapi petugas perubatan awam dan mengatasinya segera sebelum semakin ramai yang berhijrah ke perkhidmatan swasta.
“Saya dimaklumkan kebanyakan kakitangan perubatan terpaksa melakukan tugas pentadbiran, sama seperti isu dihadapi guru di sekolah.
“Sekarang ramai guru yang minta berhenti awal akibat bebanan tugas. Kita takut kakitangan kesihatan juga akan melakukan perkara yang sama,” katanya ketika mencelah perbahasan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu).
Roslan pula mencadangkan KKM mempertimbangkan untuk segera menaikkan gaji dan elaun petugas kesihatan awam, khususnya doktor pakar bagi memastikan mereka terus berkhidmat di hospital awam.
“Kita dapati ramai doktor kerajaan berhenti dan pergi ke perkhidmatan swasta. KKM perlu menambah baik elaun dan tangga gaji memastikan doktor kerajaan terus bekerja dengan kerajaan,” katanya.