comscore
Tumpuan :
Nasional

Pak Ibrahim hilang di Makkah ditemui selamat

Pak Ibrahim dilaporkan hilang sejak 2 Disember lalu. – FOTO: Ihsan Nabil Alkhred

KUALA LUMPUR: Jemaah umrah warga Malaysia, Ibrahim Omar atau Pak Ibrahim yang dipercayai hilang sejak hampir 10 hari, ditemukan mutawif tempatan, hari ini.

Difahamkan, Pak Ibrahim, 67, ditemui ketika duduk di tembok berhampiran hotel Makkah Tower.

Menerusi hantaran di Facebook (FB), mutawif itu, Nabil Alkhred memaklumkan Pak Ibrahim yang berasal dari Langkawi, Kedah dalam keadaan baik.

“Saya jumpa Pak Ibrahim yang hilang selama hampir 10 hari. Kasihan tengok dia ke hulu ke hilir. Syukur Pak Ibrahim sihat, cukup makan, cukup minum.

“Saya tanya tidur di mana, Pak Ibrahim jawab dia tidur di tempat burung merpati kumpul.

“Mukanya ada sikit lebam kerana tersembam di batu, tapi semuanya selamat tiada apa-apa yang cedera teruk. Syukur Alhamdulillah,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Nabil memberitahu perkara pertama dilakukannya sebaik berjumpa Pak Ibrahim adalah memberinya makan nasi dan minuman.

“Tetapi Pak Ibrahim tak nak makan sebab terlalu teruja akhirnya ada orang Malaysia yang tegur dia.

“Sedih rasa hati ini apabila melihat sendiri muka Pak Ibrahim. Hari-hari dia menangis sambil mencari jemaahnya (rombongan), name tag (tanda nama) serta beg sentiasa dia pakai, tapi tak jumpa juga jemaah Malaysia.

“Nak cakap Arab tak tahu, jadi Pak Ibrahim tak putus asa teruskan berjalan.. hanya berhenti bila penat, dan tidur di mana rasa nak tidur,” tulisnya.

Nabil turut memberitahu sudah memberitahu Pak Ibrahim bahawa ahli keluarga dan jemaah dalam rombongan umrahnya sudah pulang ke tanah air.

“Saya cakap Pak Ibrahim jangan risau, Pak Ibrahim pasti saya serahkan kepada pihak travel (agensi) untuk uruskan Pak Ibrahim pulang ke pangkuan keluarga tersayang.

“Terima kasih semua yang tak berhenti mendoakan beliau. Setiap langkah Pak Ibrahim akan dikira pahala Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, anak Pak Ibrahim, Maziah yang dihubungi Harian Metro bersyukur apabila dimaklumkan bapanya ditemui dengan selamat.

Katanya, bapanya mengerjakan umrah bersama emaknya dan ibu saudara, manakala keluarga di Malaysia dimaklum kehilangan itu pada 2 Disember.

“Alhamdulillah, lega rasanya apabila nampak gambar dan video keadaan ayah sihat,” katanya.

Pak Ibrahim bertolak ke Makkah pada 26 November lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air, semalam tetapi gagal dijejaki selepas enam hari tiba di Tanah Suci.

Kisah Pak Ibrahim mendapat perhatian ramai selepas berita kehilangannya tular di laman sosial malah mutawif dan jemaah lain yang berada di Tanah Suci turut berusaha menjejakinya.

Loading...
Terkini