KLUANG: Kira-kira 2,000 penduduk di Taman Perdana dan kawasan sekitarnya, di sini, resah kerana sering berdepan gangguan gajah sejak beberapa tahun lalu.
Dalam kejadian terbaru, malam tadi, dua gajah yang terpisah daripada kawanan asal haiwan liar itu, bertindak memasuki salah sebuah rumah penduduk di taman berkenaan dengan merosakkan pintu pagar.
Mangsa, M Pavayee Ammah, 83, berkata beliau yang tinggal bersendirian ketika kejadian, terdengar suara bising penduduk menjerit serta bunyi hon motosikal, di depan rumahnya kira-kira jam 9.30 malam.
“Ketika itu, saya sedang tidur tetapi terjaga selepas terdengar suara bising di luar rumah. Saya mahu keluar rumah, namun jiran menjerit supaya saya berlindung di dalam rumah saja dulu.
“Tidak lama kemudian, gajah itu lalu di tepi rumah dan melanggar pagar belakang menuju ke kebun kelapa sawit,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Rakaman video memaparkan kejadian itu turut tular dalam laman sosial sehingga menarik perhatian masyarakat.
Seorang lagi penduduk, M Alangovan, 67, mengaku bimbang dengan kehadiran haiwan liar itu yang dikatakan kerap muncul di sekitar Kluang sejak akhir-akhir ini.
“Saya bimbangkan keselamatan penduduk, di sini, termasuk kakak saya yang tinggal berseorangan. Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu kerana dikhuatiri berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Aminuddin Jamin, berkata dua gajah berkenaan didapati terpisah daripada kawanan asal sebanyak lima ekor.
“Semalam, kita mengambil tindakan dan gajah terbabit sudah kembali ke kawasan semula jadi, iaitu hutan berhampiran kawasan perumahan itu.
“Bagaimanapun, kita masih terus membuat pemantauan untuk melihat sama ada haiwan itu kembali kepada kumpulannya ataupun tersasar lagi.
“Dua haiwan itu terkeluar daripada kumpulan dan hari ini, kita menaikkan dron untuk memantau arah pergerakan gajah berkenaan,” katanya.