comscore
Tumpuan :
Nasional

Paip saluran air rosak akibat hakisan sungai, jejas lebih 2,000 penduduk

SLIM RIVER: Lebih 2,000 penduduk terjejas selepas saluran paip yang membekalkan air ke rumah mereka rosak dipercayai akibat hakisan tebing Sungai Trolak berhampiran Kilometer 3 di Jalan Kampung Kuala Slim-Slim River, dekat sini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, kawasan benteng batu di selekoh sungai terbabit runtuh kira-kira 20 meter menyebabkan saluran paip air di tepi jalan turut rosak.

Penduduk yang yang terjejas membabitkan mereka yang tinggal di Kampung Kuala Slim dan Kampung Jaya, selain penduduk di Kampung Alah Batu serta Kampung Sri Keledang yang terletak di Hulu Bernam, Selangor bersempadan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Zulfadli Zainal, berkata kejadian itu dipercayai berlaku akibat hakisan air pada bahagian bawah benteng batu yang dibina pada selekoh Sungai Trolak.

Beliau berkata, sebelum ini pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membina benteng batu di selekoh sungai dan jalan berkenaan untuk mengelak berlaku rebakan atau runtuhan tanah di tepi tebing jalan terbabit.

“Hujan yang lebat di kawasan setempat dan hulu menyebabkan aliran air sungai berkenaan menjadi deras dan menghakis tebing pada selekoh sungai yang turut mempunyai saluran paip air.

“Saluran paip air itu akhirnya rosak menyebabkan beberapa kampung termasuk kampung dalam kawasan Selangor bersempadan negeri ini turut terjejas.

“Tinjauan di tempat kejadian mendapati kira-kira 20 meter tebing jalan berkenaan runtuh akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui, dekat sini, hari ini.

Tinjauan juga mendapati pekerja Lembaga Air Perak (LAP) sedang bertungkus lumus memulakan kerja bagi membaiki kerosakan paip bekalan air di tepi jalan berkenaan.

Zulfadli berkata, bagi mengurangkan beban penduduk yang terjejas, pihak LAP menghantar empat lori tangki air bersih di kawasan kampung terbabit.

Katanya, jalan berkenaan juga adalah laluan utama yang menghubungkan Slim River ke FELDA Gunung Besout dan setakat ini pengguna masih boleh melaluinya.

“Bagi mengelak berlaku lagi runtuhan tanah pada tebing jalan berkenaan, saya akan mengemukakan masalah ini pada Mesyuarat Tindakan Daerah selepas ini.

“Saya mencadangkan aliran sungai itu dilurus atau dilebarkan supaya ketika hujan dan arus deras, tidak berlaku lagi kejadian hakisan tebing pada selekoh jalan berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini