KUANTAN: Seramai 820 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.
Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu membabitkan 67 pegawai dan 753 anggota yang akan bertugas di 11 daerah di negeri ini.
Katanya, semua pegawai dan anggota sudah menjalani latihan intensif di sungai dan tasik sejak sebulan lalu sebagai persediaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Bagi menghadapi MTL, sebanyak 67 kenderaan air iaitu bot jenis aluminium dan gentian kaca serta kenderaan dua alam disediakan bagi operasi menyelamat mangsa banjir.
“Dengan persediaan ini, APM turut bersiap siaga jika berlaku banjir kilat termasuk dengan kerjasama dengan agensi penyelamat lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Kerajaan negeri Terengganu tidak terkecuali bersedia menggerakkan aset termasuk bot ke lokasi risiko banjir di seluruh negeri bagi melakukan kerja menyelamat mangsa banjir.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana sudah ditubuhkan dan bilik gerakan banjir di peringkat negeri dan daerah akan dibuka apabila berlaku banjir.
Katanya, kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti amalan setiap tahun akan menggerakkan semua aset termasuk bot ke kawasan berisiko banjir bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan dilaporkan, berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Barat Sarawak.