Tumpuan :
Nasional

Pahang larang guna bekas makanan polisterin berkuat kuasa 1 Julai depan

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang (tengah) menyerahkan sumbangan kepada penerima pada Program Memacu Kehidupan Tahun Baru Cina 2025 di Dewan Astana Grand Darul Makmur, Kuantan. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Kerajaan Pahang melarang penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin, berkuat kuasa 1 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, berkata semua peniaga makanan akan diberikan tempoh sehingga 30 Jun depan untuk beralih kepada alternatif lebih selamat dan mesra alam.

Katanya, keputusan itu adalah langkah penting ke arah melindungi alam sekitar serta mengurangkan pencemaran plastik di negeri ini.

“Sebenarnya kerajaan negeri sudah mengingatkan kepada masyarakat, khususnya peniaga makanan bahawa larangan penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin diperkenalkan sejak 2019.

“Namun, masih terdapat segelintir pihak yang tidak mematuhi peraturan ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pahang baru-baru ini sebulat suara bersetuju untuk menguatkuasakan larangan ini secara menyeluruh bermula 1 Julai depan,” katanya.

Chon Siang berkata demikian pada sidang media selepas Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Yayasan PETRONAS di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah pelaksanaan itu ialah kerajaan negeri akan melancarkan kempen kesedaran awam di seluruh daerah di negeri itu.

Katanya, pendekatan itu bertujuan mendidik pengguna dan peniaga mengenai bahaya penggunaan polisterin serta keperluan beralih kepada bekas mesra alam.

Ditanya pelaksanaan penguatkuasaan, beliau berkata, bermula bulan ini, semua PBT di Pahang akan menjalankan pemeriksaan dan memberi notis peringatan kepada premis yang masih menggunakan polisterin.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar larangan itu selepas tarikh penguatkuasaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini