KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISB Holdings (GISBH) sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat.
Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa mengadakan mesyuarat khas pada Rabu lalu.
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, golongan yang disebut sebagai menyeleweng dan sesat itu jika mereka meneruskan kepercayaan serta amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam, yang diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.
Beliau berkata fatwa itu merangkumi golongan yang disebut mempercayai bahawa Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia pada 2010 tidak mati, sebaliknya ghaib.
“Bahawa keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut di atas dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah atau manamana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan.
“Sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak berkuasa termasuk agensi berkaitan bekerjasama bagi merangka dan melaksanakan pemulihan serta pemantaun pengikut GISBH.
Katanya, kerjasama membabitkan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan pelbagai lain.
Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah, menjadikan ia negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.