SHAH ALAM: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan ditutup pada pada 31 Mac ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pelanjutan tarikh akhir akan melambatkan pelaksanaan kerajaan bagi penstrukturan semula subsidi yang dirancang dan subsidi bersasar.
“Setakat ini, tidaka ada rancangan untuk kita (kerajaan) melanjutkan daripada 31 Mac lah.
“Kerana bila kita lanjutkan itu, nanti dia akan minta lanjut lagi, lanjut lagi, lanjut lagi.
“Cuma kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan itu ke belakang,” katanya pada Sesi Townhall Bersama Menteri Ekonomi Berkenaan PADU di sini hari ini.
Tambahnya jika perkara itu berlaku, kerajaan perlu menanggung kos tambahan sebanyak RM2 bilion sebulan.
Rafizi berkata demikian bagi menjawab soalan salah seorang hadirin yang hadir dan bertanya sama ada kerajaan akan melanjutkan tarikh akhir selepas 31 Mac.
Terdahulu, Rafizi mengulangi kebimbangannya terhadap jumlah pendaftaran yang rendah dalam kalangan penduduk Selangor.
Beliau berkata 1,224 lokaliti di negeri ini masih belum mendaftar di bawah PADU.
Jelasnya, Petaling Jaya mempunyai bilangan penduduk yang belum berdaftar dengan PADU tertinggi, diikuti Hulu Langat, Sepang, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.