Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Padang ini peninggalan hijau terakhir dalam komuniti kami’ – Penduduk Bukit Jelutong

SHAH ALAM: ‘Satu persatu (kawasan hijau) ditukar menyebabkan penduduk kehilangan banyak kemudahan,”.

Itu kekesalan disuarakan lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong di sini yang bangkit mendesak pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak meneruskan projek pembangunan di padang hijau terakhir dalam komuniti itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA), Zien Hashim berkata, kawasan berkenaan perlu dikekalkan kerana telah menjadi tempat beriadah penduduk setempat sejak tiga dekad lalu.

Justeru, rancangan pemaju membangunkan 425 unit rumah di atas kawasan seluas kira-kira 28 hektar di lokasi berkenaan, amat mengecewakan mereka.

“Hari ini lebih 1,000 penduduk mahu Kebenaran Merancang (KM) yang diluluskan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan dikeluarkan pada 6 September lalu dibatalkan dan tidak meneruskan projek ini.

“Mengikut pelan asal (master plan) sepatutnya Bukit Jelutong mempunyai ‘club house’ sendiri, tetapi, sehingga hari ini masih tidak dibina dan lokasi itu ditukar menjadi rumah kedai.

“Selepas satu persatu (kawasan hijau) ditukar menyebabkan penduduk kehilangan banyak kemudahan. Jadi apabila padang hijau ini pun mahu ditukar menjadi projek pembangunan, penduduk bangkit untuk nyatakan bantahan.

Persatuan Penduduk Bukit Jelutong mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak emaju serta pihak berkuasa membatalkan projek pembangunan di padang hijau kira-kira berkeluasan 28 hektar di Bukit Jelutong, Shah Alam. – FOTO: NSTP

“Kita menyokong projek lain tetapi padang ini peninggalan hijau terakhir dalam komuniti kita dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya kepada media selepas mengadakan perhimpunan aman Bukit Jelutong Bersatu: Mengelakkan Warisan Hijau Kami, di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk sedang mengkaji dan mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung perkara terbabit.

“Kami masih terbuka untuk rundingan dengan pemaju dan MBSA, asalkan dapat jaminan bahawa padang hijau kami dilindungi dan dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, projek berkenaan akan memberi kesan kepada kesesakan lalu lintas dan bakal mengundang banjir di kawasan berkenaan.

“Penduduk sini ramai pakar dan golongan profesional yang tahu mengenai risiko bakal dihadapi jika projek diteruskan.

“Malah ketiadaan padang untuk aktiviti riadah juga bakal memberi kesan kepada aktiviti sosial kanak-kanak yang habiskan masa dengan gajet susulan tiada padang untuk bersukan,” katanya.

Wakil rakyat kawasan berkenaan, ADUN  Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, berkata beliau sendiri akan membantu memudahkan cara rundingan di antara penduduk, pihak pemaju serta PBT bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita akan cuba cari penyelesaian secara situasi menang-menang (win win situation) yang mana, apa yang penting kita hendak memelihara dan mempertahankan kawasan hijau dalam Bukit Jelutong ini,” katanya.

Loading...
Terkini