comscore
Tumpuan :
Nasional

Padah tumbuk ibu kandung, buruh dipenjara setahun

Chai Chon Tak dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan selepas mengaku bersalah menumbuk ibu kandungnya. FOTO: NSTP

TELUK INTAN: Seorang buruh ladang kelapa sawit dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan menumbuk ibu kandungnya hanya kerana tidak diberikan RM10 untuk membeli dadah.

Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, cedera dalam kejadian di 2873, bangunan Pejabat DAP, Lorong Taman Langkap Jaya, di sini, pada jam 3 petang, Isnin lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu didapati menumbuk lengan kiri ibu kandungnya kerana tidak memberikan RM10 untuk tujuan membeli dadah.

Mangsa bertindak membuat laporan polis kerana kejadian itu sering kali berlaku serta takut perkara yang tidak baik terjadi terhadapnya.

Pada hari sama, polis menahan suspek di tepi jalan Desa Maju Langkap, jam 9.30 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), F Faustina.

Faustina dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum memandangkan tertuduh adalah lelaki bujang yang menanggung ibu bapanya.

Izzudin Fakri pula memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara setimpal tempohnya dengan mengambil kira tertuduh mengasari ibu kandungnya sendiri di khalayak ramai berpunca meminta wang untuk membeli dadah serta hukuman bertujuan sebagai pengajaran untuk orang ramai.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihukum penjara setahun daripada tarikh tangkapan, Isnin lalu.

Loading...
Terkini