![](https://media.buletintv3.my/2023/09/SLIDE-BULETIN-TV3-35.jpg)
SEREMBAN: Dua wanita dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret Seremban, selepas mengaku bersalah atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki dalam urusan mendapatkan anak angkat .
Tertuduh, G Gayathree, 32, dan Aliyah Begum Selvam, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Kedua-dua tertuduh didapati dengan curangnya menipu seorang lelaki, 37, dengan menawarkan urusan pengambilan anak angkat dan meminta mangsa membuat pembayaran tujuh kali transaksi sebanyak RM7,900 ke dalam satu akaun bank.
Perbuatan itu dilakukan di rumah di Taman Ara Sendayan, di sini, 15 Julai lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, selain sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan bermula dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.