Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Padah bermain basikal lajak secara berbahaya, tujuh kanak-kanak ditahan di Lebuh Relau 4, di sini semalam.
Kesemua kanak-kanak lelaki berusia 11 hingga 13 tahun dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong bagi didokumentasi.
Selesai proses dokumentasi, mereka kemudiannya diserahkan kepada ibu bapa dan waris masing-masing.
Menurut laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, penahanan kanak-kanak itu dibuat susulan aduan orang awam mengenai sekumpulan mereka bermain basikal lajak di kawasan berkenaan.
Tindakan itu didakwa mengganggu ketenteraman awam dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
Rondaan dan tinjauan di sekitar kawasan kemudian dilakukan pasukan Task Force balai terbabit pada petang semalam.
“Hasil tinjauan mendapati seramai tujuh kanak-kanak lelaki sedang bermain basikal lajak.
“Kesemua kanak-kanak itu dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong bagi tujuan dokumentasi sebelum diserah kepada waris penjaga masing-masing,” menurut kenyataan itu di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, polis menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan, tingkah laku dan aktiviti anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.
Terdahulu, video mengenai perbuatan kanak-kanak itu yang dipercayai dirakam orang awam turut tular di media sosial.