Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Tindakan seorang pekerja kilang mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengundang padah apabila dia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret, Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ronney Soo Eng Lee, 44, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah menghina Seri Paduka Baginda berdua, serta kepada Yang Dipertua Negeri Melaka dan Ketua Menteri Melaka.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 8 pagi di pejabat sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh pada 15 April 2022.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Peguam Mohd. Ishak Kari merayu agar hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan alasan menanggung isteri dan tiga orang anak serta ibu bapa yang uzur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon agar hukuman berbentuk pengajaran diberikan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.