Tumpuan :
Nasional

Padah buat aksi ‘wheelie’, 2 remaja ditahan

Padah kerana membuat aksi ‘wheelie’, dua remaja ditahan polis di kilometer 83.9 Jalan Kluang – Kota Tinggi, dalam Operasi Samseng Jalan di Kluang Johor. – Foto PDRM

KLUANG: Padah kerana membuat aksi ‘wheelie’, dua remaja ditahan polis di Kilometer 83.9 Jalan Kluang-Kota Tinggi, dalam Operasi Samseng Jalanan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam operasi selama empat jam berakhir jam 2 pagi itu, 17 motosikal diperiksa dan sebanyak 14 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik.

“Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menjalankan Operasi Samseng Jalanan dan memeriksa 21 individu.

“Dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun yang menaiki sebuah motosikal ditahan dalam operasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing terhadap keduanya didapati negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di atas jalan raya secara melulu dan membahayakan kepada pengguna lain.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

“Operasi sedemikian akan kerap dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin dan tidak berlaku sebarang kecelakaan yang tidak diingini.

“Orang ramai khususnya remaja dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram yang membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini