KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 32,752 liter diesel dianggarkan bernilai RM66,991.60 dalam dua rampasan berasingan.
Sitaan pertama dilakukan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Krai pada petang kelmarin ke atas sebuah lori tangki berpendaftaran tempatan.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata dalam serbuan pada 5 petang itu, pihaknya mendapati berlaku aktiviti membekalkan barang kawalan minyak diesel kepada orang ramai tanpa lesen di tapak pembinaan berkenaan.
Pemandu lori tangki terbabit serta seorang pekerja tapak pembinaan berkenaan ditahan atas kesalahan memiliki barang kawalan iaitu diesel tanpa permit sah atau kebenaran pengawal bekalan.
Kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan minyak diesel itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam rampasan kedua, pihaknya menerima serahan kes dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berkaitan Op Kontraban membanteras ketirisan barang kawalan di sekitar sempadan negara.
Azman berkata dalam rampasan pada Selasa lalu itu, sebanyak 20,000 liter diesel disita dari sebuah treler dan sebuah bot ikan kelas C di lokasi Jeti Tok Bali.
Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes adalah RM336,991.60.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu manakala RM2 juta bagi perbadanan.