TUMPAT: Pacuan empat roda dinaiki dua sepupu yang dalam perjalanan pulang dari menziarah waris meninggal dunia di sebuah wat di Terbak di sini berakhir dengan tragedi apabila terbabas dan terhumban ke dalam sungai.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi di Kampung Chenderong Kubu, di sini menyebabkan Eh Bau Eh Di, 43, ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang.
Seorang saksi kejadian yan ditemui, Kamal Hakimi Fauzi, 19, berkata, dia bersama tiga rakannya berada di sebuah wakaf berhampiran sungai sedang bermain karom.
Pacuan empat roda dinaiki dua sepupu yang dalam perjalanan pulang dari menziarah waris meninggal dunia di sebuah wat di Terbak di sini berakhir dengan tragedi apabila terbabas dan terhumban ke dalam sungai. pic.twitter.com/X6KnlvMLAU
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 20, 2023
“Saya nampak kereta jenis Toyota Hilux sedang menaiki jambatan untuk menyeberangi sungai dan tiba-tiba kenderaan itu meluncur merempuh pagar jambatan.
“Kenderaan itu terus jatuh ke dalam sungai dan kami berempat terkejut sebelum bergegas ke tebing untuk melihat sekiranya ada individu sempat keluar dari kenderaan itu untuk meminta tolong tapi keadaan sunyi sepi.
“Kenderaan itu terus tenggelam dan kami tidak cuba terjun untuk membantu kerana sungai itu agak dalam serta keadaan pula gelap sebaliknya segera menghubungi pihak bomba,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mayat Eh Bau ditemukan dalam kenderaan jam 9.20 pagi tadi manakala seorang lagi mangsa masih hilang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Anuar Yacob berkata, pihaknya menerima pangglan jam 1 pagi berkaitan kejadian.
“Seramai 15 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi dan untuk selaman, ia membabitkan sembilan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pengkalan Kubor serta Pengkalan Chepa.
“Operasi bermula jam 8 pagi tadi lagi membabitkan pencarian sekitar permukaan sungai manakala sepasukan PPDA pula meneruskan dengan misi selaman,” katanya.