comscore
Tumpuan :
Nasional

PAC dedah Kabinet lulus 2 sistem pengurusan pekerja asing laksana fungsi sama

FOTO: Mas Ermieyati Samsudin/ Facebook 

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015 meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembangunan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Kabinet pada 26 Ogos 2015.

“PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem sama berkonsepkan ‘single window’.

“Ini sekali gus menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Mas Ermieyati berkata, hasil prosiding PAC turut mendapati berlaku pelanggaran peraturan membabitkan kontrak FWCMS.

Katanya, walaupun Surat Setuju Terima dikeluarkan pada 12 Januari 2018, namun sehingga tarikh akhir prosiding terakhir PAC dijalankan pada 13 Mac lalu, ia masih belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan dan vendor.

“Ini bermakna, kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan.

“”Ini jelas melanggar peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Datuk Mas Ermieyati turut mendedahkan, surat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada 30 Disember 2020 menunjukkan FWCMS tidak termasuk dalam senarai projek yang mendapat kelulusan prinsip Jemaah Menteri atau Surat Niat untuk dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) bagi tempoh 2009 hingga 31 Mei 2020.

Katanya, kelemahan lain adalah berkaitan pengurusan kawalan dokumen pengenalan (ID) dalam sistem FWCMS yang mana terdapat dua ID bukan dalam kalangan pegawai KESUMA dikesan.

Selain itu, terdapat 24 ‘pengguna tidak diperakui’ (unauthorized user) yang meluluskan 24 permohonan majikan melalui sistem berkenaan.

“Kes ini sudah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya satu siasatan dijalankan. PAC turut menggesa PDRM memaklumkan perkembangan terkini siasatan mengenainya.

“Pada masa sama, PAC turut dimaklumkan Ketua Setiausaha KESUMA sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menamatkan sistem FWCMS, maka sistem ePPAx yang diberhentikan penggunaannya masih boleh digunakan bagi proses pengambilan pekerja asing,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi berkata, siasatan PAC turut mendedahkan ‘kepincangan’ yang jelas susulan pemilihan Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) sebelum syarikat itu ditubuhkan.

“Dalam pembentangan oleh FWMS dan kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bestinet (Ismail Mohd Noor)menunjukkan projek ini secara jelas dipacu oleh pembekal (vendor driven).

“Melalui laman web Bestinet didapati syarikat itu ditubuhkan pada 2013 tetapi sebelum itu, pada 2005, idea FWCMS dibawa kepada Menteri Dalam Negeri (ketika itu).

“CEO dalam prosiding ketika menjawab soalan (PAC) memberitahu apabila idea itu diterima, barulah syarikat terbabit ditubuhkan,” katanya.

Susulan daripada itu, PAC mengemukakan lima syor sebagai langkah penambahbaikan bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Pertama, KDN dan Bestinet hendaklah segera memuktamadkan keputusan perjanjian dan hala tuju sistem FWCMS. Pada masa sama, KDN perlu memastikan sebarang perolehan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dirujuk kepada dasar dan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa oleh Jabatan Digital Negara.

“Selain itu, KDN perlu membetulkan kecelaruan yang berlaku dalam proses perolehan dan mencari jalan penyelesaian segera.

“Dalam hal ini, KDN dan KESUMA perlu bekerjasama merangka pelan stratEgik yang menyeluruh berhubung pengurusan pekerja asing dan tidak terhad kepada pembangunan sistem semata-mata, sekali gus memastikan tiada pertindihan fungsi yang mengakibatkan pembaziran wang awam,” katanya.

Untuk rekod, PAC melakukan siasatan terperinci berhubung pembangunan sistem terbabit selepasia dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan di Parlimen pada 22 November 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini