KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada wakil FashionValet Sdn Bhd (FV), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) perlu dipanggil.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya menerima gesaan pelbagai pihak untuk memanggil pihak berkaitan susulan kerugian pelaburan ditanggung Khazanah dan PNB.
“Ada cadangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen, penjawat awam, usahawan dan lain-lain supaya PAC memanggil pihak berkenaan.
“Saya perlu membawa perkara ini kepada jawatankuasa PAC untuk dibincang dalam masa terdekat.
“Sekiranya jawatankuasa bersetuju dan ada keperluan, mereka akan dipanggil,” katanya kepada BH, hari ini.
FV menjadi tumpuan berikutan kerugian pelaburan ditanggung oleh Khazanah dan PNB. Syarikat berkenaan dilapor mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu melabur.
Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dan 2017 menunjukkan kerugian FV meningkat kepada RM10.7 juta pada 2017 berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018.
Maklumat kewangan itu diperoleh daripada pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pelbagai pihak menggesa tindakan diambil termasuk saranan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujud ketirisan yang membelenggu FV.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa