comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Organ Dalam Jar’ inovasi pendidikan perubatan

PETALING JAYA: Patologi ialah satu cabang pengkhususan dalam bidang perubatan yang mengkaji sebab, punca, proses perkembangan dan akibat sesuatu penyakit.

Makmal patologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan menjadi lokasi setiap organ berpenyakit di hospital ini diserahkan untuk proses diagnosis.

Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) USM menempatkan melebihi 500 spesimen organ manusia.

Organ yang telah diawet dan dipaparkan di dalam tabung kaca atau jar, dikeluarkan dengan kebenaran pesakit yang mendapat rawatan di hospital ini sejak hampir 40 tahun yang lalu.

Antara pesakit yang memberi kebenaran itu adalah Asmira Aziz, ibu kepada dua orang anak disahkan menghidap kanser kolon tahap satu pada Julai 2023 dan ia merebak menjadi tahap empat dalam masa 7 bulan.

Operasi kes Asmira bakal diketuai oleh Pakar Bedah Kolorektal di Hospital USM, Prof Dr. Zaidi Zakaria yang telah mempunyai pengalaman lebih 10 tahun  dalam bidang ini.

“Kanser ataupun tumor itu besar berbanding pada biasa. Jadi, kanser itu melekat pada dinding abdomen atau perut. jadi apa yang pasukan saya buat, kita lepaskan kanser itu daripada dinding.

“Ada juga usus kecil yang melekat pada kanser atau tumor itu. Jadi apa yang kita buat sekarang ni, kita telah memotong usus kecil dan menyambung kembali usus kecil tersebut dan seterusnya kita boleh mengeluarkan kanser tersebut dari badan pesakit,” kata Prof Dr. Zaidi Zakaria dalam program Majalah 3.

Hasil penemuan dalam proses ini memberi kesan yang besar dalam rawatan susulan pesakit.

Maklumat yang diperoleh akan diserahkan kepada pakar perubatan kanser atau onkologi yang akan merawat pemilik organ. Ia penting kerana rawatan yang berbeza bakal diberikan kepada pesakit yang mempunyai jenis dan tahap kanser yang berlainan.

Apabila proses diagnosis di makmal patologi selesai, spesimen dengan keadaan penyakit yang unik dan mempunyai bentuk yang lengkap akan dipilih untuk dijadikan bahan pembelajaran.

Proses penyediaan setiap satu spesimen jar dilakukan di dalam bengkel kebuk asap dan mengambil masa seminggu hingga dua minggu bergantung kepada saiz spesimen yang diterima.

Pensyarah Patologi USM, Noorul Balqis Che Ibrahim

Pensyarah Patologi USM, Noorul Balqis Che Ibrahim, berkata dengan wujudnya fasiliti dan spesimen jar yang dihasilkan dengan organ berpenyakit sebenar, cara menuntut ilmu lebih menarik dan mudah untuk difahami.

“Saya berharap mereka (pelajar) menjadi salah seorang perintis atau pun mereka boleh discover ubat yang baharu atau lebih berkesan supaya lebih banyak lagi nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya lagi.

Saban hari, ilmu dalam bidang perubatan berkembang kerana sentiasa ada penyakit dan penawar yang baharu diterokai. Inovasi pendidikan seperti ini bakal melahirkan lebih ramai generasi pakar dalam bidang perubatan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ‘Organ Dalam Jar’, saksikan Majalah 3 pada jam 9 malam ini di TV3.

Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini