Tumpuan :
Nasional

‘Orang tendang motosikal punca saya dipukul’ – Mangsa belasah di pasar pagi

Ahmad Nor Al Faizan menceritakan kejadian dia dipukul. – FOTO: NSTP

CHUKAI: “Tanya orang yang tendang motosikal saya itu, dialah punca motosikal saya terbabas dan terlanggar gerai mi goreng itu,” kata lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.

Ahmad Nor Al Faizan berkata, insiden itu adalah punca dia dibelasah teruk oleh sekumpulan individu dalam kejadian di pasar pagi berhampiran Padang Astaka, Chukai, di sini, baru-baru ini.

Katanya sebelum kejadian, dia melalui kawasan itu dalam perjalanan menghantar nasi minyak yang dikirim seorang rakannya.

“Saya menunggang motosikal meninjau jualan peniaga di situ dan ketika pusingan kali ketiga, tiba-tiba ada orang tendang motosikal saya dari belakang.

“Ketika terjatuh, saya dipukul ditendang, diheret dengan teruk dan sampai hari ini saya tertanya-tanya mengapa mereka memukul saya sebegitu rupa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili di sini, hari ini.

Katanya, selain dipukul, paling sedih dia terbayang saat mukanya dihumban atas mi goreng di atas jalan.

“Sepatutnya ketika saya jatuh mereka angkat motosikal saya, sebaliknya mereka memukul saya.

“Saya rayu jangan pukul kerana saya tidak sengaja dan mereka sepatutnya cari siapa yang tendang motosikal saya,” katanya.

Ahmad Nor Al Faizan berkata, ketika dipukul dia beberapa kali merayu kesakitan akibat dipukul dan memohon maaf serta memberitahu ingin menggantikan kerugian peniaga mi goreng itu.

“Namun rayuan saya itu tidak diendahkan dan saya terus terus dipukul dengan teruk.

“Ketika dihumban ke atas mi goreng yang tumpah di atas jalan itu, saya menahan nafas dan saya cuba menahan muka saya dengan tangan kerana pedih terkena mi goreng sebelum seorang individu curah mi goreng atas kepala saya,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan matanya sangat pedih dan dia ada minta air untuk membasuh muka sebelum sekali lagi kepalanya disepak.

“Perbuatan mereka sangat kejam, sepatutnya perkara itu boleh dibincang secara baik dan saya bersedia membayar kerugian yang dialami mereka.

“Peristiwa itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada saya termasuk isteri dan anak-anak,” katanya.

Katanya, selepas keluar dari hospital dia masih merasai kesakitan pada bahagian rusuknya.

Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan lelaki OKU dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.

Mangsa dilihat diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.

Susulan itu polis menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini