comscore
Tumpuan :
Nasional

Orang ramai teruja nikmati kemeriahan penganjuran bazar Ramadan

FOTO: NSTP

KUCHING: Setiap kali tibanya bulan Ramadan, keterujaan orang ramai pastinya bukan saja untuk menjalankan ibadah puasa tetapi juga munculnya bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa.

Penganjuran Baazar berkenaan bukan sahaja menarik Masyarakat Islam yang mahu membeli juadah berbuka tetapi ia turut menjadi tumpuan masyarakat bukan Islam.

Menurut peniaga bazar Ramadan, Mohd Rizmin Mohamed, walaupun sudah lebih 10 tahun berniaga di bazar Ramadan dia sentiasa teruja dan gembira melihat pelbagai kaum yang mengunjungi seterusnya membeli juadah di bazar terbabit.

Situasi itu katanya mencerminkan perpaduan dan kebersamaan rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang masing-masing.

“Bagusnya bagi saya sebab saya suka melihat orang ramai pelbagai kaum yang sama ada kaum Melayu, Cina, India masih lagi mahu berkunjung ke bazar Ramadan membeli juadah. Ini yang kami amat hormati mereka dan sambutan mereka juga amat memberangsangkan,” katanya.

Bagi pengunjung, Wan Alif Wan Kassim, kemeriahan bazar Ramadan itu sudah terasa walaupun baru hari pertama ia diadakan selepas peralihan negara kepada fasa endemik.

Ini kerana, suasana bazar terbabit tahun ini agak berbeza dengan dua tahun sebelum ini yang dilakukan dalam suasana terkawal susulan penyebaran wabak COVID-19.

“Ia kembali rancak lagilah dan inilah bazar Ramadan yang mungkin ditunggu oleh rakyat sebelum ini. Inilah masanya,” katanya.

Pendapat sama juga turut dikongsi pengunjung lain, Nur Aiman Stanley yang berpendapat jumlah tawaran juadah yang dijual juga bertambah berbanding dua tahun sebelum ini.

Keadaan itu katanya memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung-pengunjung ke bazar terbabit.

“Ia sesuatu yang semua orang tunggu sebab saya lihat jumlah penawaran juadah yang dijual juga bertambah sebab banyak orang sudah boleh buka gerai mereka dan ini pastinya memberikan pelbagai pilihan kepada kita,” katanya.

Selain di Jalan Satok Kuching, terdapat beberapa lagi bazar Ramadan dibuka di sekitar Kuching antaranya di Samariang dan Tupong, Petrajaya.

Loading...
Terkini