comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Orang ramai digesa bantu kesan kanak-kanak 6 tahun hilang – MB


JOHOR BAHRU: Orang ramai diminta bersama-sama membantu dengan melaporkan sebarang maklumat diperoleh dalam usaha mengesan seorang kanak-kanak yang hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini, Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mereka yang menemui kanak-kanak itu atau mempunyai maklumat boleh segera melaporkan di balai polis berhampiran.

“Saya menerima laporan berkenaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang pada 8.30 malam, Sabtu malam akibat terpisah daripada keluarga ketika acara Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mencari dan mengesan kanak-kanak itu.

“Saya juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui kanak-kanak itu membuat laporan segera di balai polis berhampiran.

“Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya, semalam.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui itu disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (cm) dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Kumarasan dipetik berkata, kanak-kanak berkenaan memakai baju T putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan seluar pendek.

Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai kedudukan kanak-kanak itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzuan Abd Hadi di talian 017-7051097 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999.

Difahamkan, lokasi pusat perniagaan itu sedang berlangsung festival Maqan x Bon Odori selama tiga hari bermula kelmarin yang disertai bapa kanak-kanak itu yang juga seorang peniaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini