![](https://media.buletintv3.my/2025/02/DATO-ON.jpg)
JOHOR BAHRU: Orang ramai dibenar mengambil gambar dan merakam video mana-mana individu yang merokok di kawasan premis makanan atau kawasan yang tidak dibenarkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, bukti itu boleh disalur kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan penguatkuasaan diambil.
Beliau berkata, orang ramai juga tidak perlu berasa takut untuk bersama-sama memastikan undang-undang di negara ini dipelihara.
“Orang awam yang jumpa perokok di kawasan tidak dibenarkan, termasuk restoran atau kedai makan, mereka boleh ambil gambar dan rakam video, kemudian lapor kepada Pejabat Kesihatan Daerah.
“Kita akan ambil tindakan tegas berhubung perkara ini kerana ia membabitkan aspek kesihatan awam. Selepas aduan diterima, kita akan buat tindakan susulan termasuk membuat pemeriksaan terhadap premis itu.
“Di bawah akta dan peraturan, semua orang adalah sama jadi semua pihak termasuk kakitangan kerajaan perlu mematuhi arahan ditetapkan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Lima Fasiliti Baharu Sempena Ulang Tahun ke-6 Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Wilayah Selatan dan Timur Malaysia, Maisarah Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Muhamad Amin Othman.
Sementara itu, Muhamad Amin, berkata lima fasiliti perubatan baharu yang dibuka itu bakal menambahbaik tahap perkhidmatan hospital sempena ulang tahun keenam ia beroperasi.
“Lima fasiliti baharu itu membabitkan pembukaan Makmal Jantung, Pusat Dialisis, Suite Endoskopi, wad dewasa dan wad kanak-kanak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.