comscore
Tumpuan :
Nasional

Orang ramai ambil rumput Stadium Nasional sebagai kenangan

Orang ramai mengambil rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Penawaran rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil secara percuma oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dimanfaatkan sepenuhnya orang ramai dengan ada yang menyifatkan rumput stadium keramat itu sebagai ‘barang kenangan.’

Situasi itu diakui Erik Tan, 47, yang turut berkesempatan mengambil cebisan rumput berkenaan untuk dijadikan cenderamata selain mahu menanamnya kembali bagi mencantikkan perkarangan rumahnya.

“Saya akan letak di rumah dan jadikannya sebagai kenangan. Saya mahu beritahu kepada anak- anak bahawa di rumput inilah, pemain bola sepak kita pernah beraksi dan layak ke Piala Asia 2023.

“Selepas mencantikkan rumah nanti, bolehlah saya katakan rumput ini datang daripada Stadium Nasional,” katanya ketika ditemui ketika mengambil rumput berkenaan, sebentar tadi.

FOTO: NSTP

Sebagai rekod, pemberian rumput padang itu adalah bersempena ulang tahun ke-25 Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) dan bertujuan menyumbang semula kepada rakyat.

Sementara itu, pegawai pemulihan penagihan narkotik (PUSPEN) Sungai Besi, Wan Donnie Khalid Wan Abdullah, 45, menjelaskan pengambilan rumput itu bukan untuk kegunaan peribadi sebaliknya untuk digunakan bagi menggantikan beberapa kawasan padang di pusat terbabit.

Jelasnya, padang di pusat terbabit berada dalam keadaan baik namun ada beberapa tempat yang memerlukan penggantian sekali gus inisiatif PSM itu dapat membantu mereka menggantikan rumput yang rosak dan mati.

Orang ramai mengambil rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang diberikan percuma oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mulai jam 10 pagi pagi tadi. Rumput padang stadium berkenaan bakal digantikan dengan rumput baru jenis Zeon Zoysia. – FOTO : NSTP

“Padang ini memang menjadi kegunaan pelatih kita bagi aktiviti sukan dan riadah pada sebelah petang. Aktiviti sukan ini adalah salah satu terapi bagi memulihkan mereka.

“Kebanyakan mereka memang jarang bersukan tetapi apabila mereka masuk ke sini secara sukarela, aktiviti sukan dan riadah adalah salah satu komponen wajib untuk mereka,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini