PUTRAJAYA: Isu kebersihan sering menjadi topik utama setiap kali penganjuran aktiviti berskala besar di negara ini dan tidak terkecuali sambutan Hari Kebangsaan 2023 pagi tadi.
Timbunan sampah-sarap ditinggalkan merata- merata tanpa ada rasa bersalah menjadi bukti selepas berakhirnya sambutan itu.
Setiap kali isu ini diutarakan, namun segelintir masyarakat seolah-olah mengambil sikap ”pekakkan telinga” dan ”butakan mata”
Sampah sarap kelihatan berterabur di kaki lima jalan raya dan pejabat kerajaan di sini.
Lebih menyedihkan, pengunjung yang duduk di bahagian ‘grandstand’ turut membuang sisa sampah seperti botol air minuman, makanan dan Jalur Gemilang di bahagian bawah tempat duduk itu selepas program selesai.
Penyelia kontraktor pembersihan,Syarikat Alam Flora Bhd. Umar Amsyar Redza, berkata seramai 53 orang pekerja ditempatkan di Dataran Putrajaya sejak12 tengah malam tadi bagi membersihkan sampah kawasan itu.
Menurutnya,orang ramai sudah mula datang untuk menyaksikan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan sejak tengah malam tadi dan berkumpul di Dataran Putrajaya bagi mendapatkan lokasi yang sesuai.
Katanya, sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung meningkat lima kali ganda dan paling menyedihkan orang ramai tidak menjaga kebersihan dengan meninggalkan sisa makanan dan barangan lain seperti tikar serta kotak yang dijadikan sebagai tempat duduk tanpa ada tanggungjawab untuk membuangnya di tong yang disediakan.
“Kita menjangkakan sebelum jam 5 petang ini semua sampah sarap dapat dibersihkan dan dibawa keluar,”katanya di sini.
Kerja-kerja pembersihan dipecahkan kepada lapan subzon iaitu Zon 1 – kawasan perarakan utama, Zon 2 – Presint 3, Zon 3 – Bulatan Gemilang , Zon 4 – di hadapan Kementerian Kewangan, Zon 5 – Dataran Putra, Zon 6 – Lebuh Bestari , Zon 7 – Persiaran Perdana Presint 4 dan Zon 8 – Monumen Alaf Baru, Presint 2.
Isnin lalu,Pengurus Negeri Alam Flora Wilayah Persekutuan, Kuit Kheng Keong melalui kenyataan berkata,syarikat Alam Flora Sdn Bhd menjangkakan mengurus 10 tan pelbagai jenis sampah ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini.
Katanya,pekerja akan melakukan pelbagai kerja pembersihan seperti kutip sampah, pengosongan tong sampah dan menyapu kawasan sekitar disubzon yang telah ditentukan.
“Alam Flora turut menyediakan 700 unit tong sampah bergerak (MGB) pelbagai saiz untuk diletakkan di beberapa lokasi bagi memudahkan orang ramai membuang sampah,” katanya.