Tumpuan :
Nasional

Orang awam bantu kejar penipu, suri rumah dapat semula barang kemas RM19,000

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Kisah berikut wajar dijadikan iktibar supaya tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.

Seorang suri rumah berusia 51 tahun terpedaya dengan dua lelaki yang kononnya boleh membuat pemeriksaan perubatan sehingga dia menyerahkan barang kemas bernilai RM19,000.

Kejadian berlaku ketika mangsa didatangi suspek sewaktu berada di Pasar Besar Perlis, disini, pada 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia menghampiri mangsa dan mengajaknya ke kawasan berdekatan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Suspek bagaimanapun telah memperdaya mangsa dalam urusan pemeriksaan kesihatan sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan dua gelang emas, sebentuk cincin dan sepasang subang emas.

“Kemudiannya, suspek menukarkan barang kemas tersebut kepada beberapa duit syiling dan beberapa keping pelapik skru yang dimasukkan ke dalam sampul dan menyerahkan kepada mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta Proton Saga,” jelasnya menerusi kiriman Whatsapp.

Jelas ACP Yusharifuddin, orang awam bertindak mengejar kenderaan dinaiki suspek sebelum ditangkap dengan bantuan polis Arau di Jalan Taman Intan, di sini.

Dua daripada tiga lelaki yang ditangkap adalah rakyat tempatan berusia 56 tahun dan pemandu kenderaan berusia 65 tahun, sementara seorang lagi merupakan warga Indonesia.

Polis berjaya merampas semula barang kemas bernilai RM19,000 yang dilarikan suspek.

Ketiga-tiga mereka akan dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Loading...
Terkini