Oleh: Zahir Senapiah
BATU PAHAT: Buat julung kalinya, masyarakat orang asli Leboh, Kangkar Pulai dekat sini, menikmati kemudahan bekalan air bersih melalui kaedah merawat sumber air bawah tanah menggunakan tenaga solar.
Projek itu sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat Ranhill-SAJ bersama Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) dan Syarikat Techkam Group.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill-SAJ, Anuar Abdul Ghani berkata, inisiatif itu berteraskan sistem penghasilan air menggunakan teknologi mesra alam, beroperasi menggunakan tenaga solar.
Katanya, air mentah daripada sumber bawah tanah akan melalui proses kondensasi di dalam panel carocell (kepingan dilapisi fabrik khas).
Air yang terkumpul akan disalurkan ke dalam tangki khusus dan boleh terus digunakan sebagai air minuman.
“Projek ini mampu memberi manfaat kepada 100 orang masyarakat orang asli yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.
“Sekaligus mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar yang sukar mendapatkan bekalan air terawat, bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anuar menambah, teknologi itu mampu merawat sumber air bawah tanah untuk terus digunakan sebagai akses sumber air bersih menerusi teknologi penyulingan air terkini.
Projek inovasi yang diterajui Jabatan Teknologi dan Inovasi, Ranhill-SAJ itu lebih efektif bagi sesuatu kumpulan sasaran yang tinggal dan berdepan dengan cabaran bentuk muka bumi dan status pemilikan tanah.
Inovasi itu juga mampu meningkatkan kualiti kehidupan mereka dengan bekalan air bersih yang lebih sistematik.
Tegasnya, penyelidikan dan pembangunan sistem rawatan air alternatif adalah antara perkara yang menjadi teras kepada kerjasama dengan UTHM dan Techkam akan memberi impak positif kepada kehidupan rakyat khususnya di luar bandar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.